PERBEZAAN cara kita melihat, mendengar dan menerima sesuatu kejadian
dan peristiwa akan mengubah tindakan dan respons kita, itulah inti pati
makna sebenar 'reset minda'. Apabila berlaku sesuatu perkara, contohnya
segelas susu tertumpah di atas meja, apakah reaksi spontan kita? Adakah
kita akan menjadi panik, kelam-kabut, kecuh, dan marah-marah mencari
siapakah yang menyebabkan susu itu tumpah?
Atau kita segera membersihkan meja itu bagi mengelakkan susu yang
tertumpah itu mengalir dan tertumpah pula ke lantai? Dalam menghadapi
situasi ini, langkah yang betul, lapkan segera susu yang tertumpah itu
bagi 'mengelakkan' atau 'mencegah' lebih banyak kerja yang terpaksa kita
lakukan jika dibiarkan. Begitulah analoginya cara penyelesaian apabila
berhadapan dengan masalah atau musibah, iaitu 'elak' dan 'cegah'
daripada masalah menjadi semakin rumit atau musibah akan menjadi
bertambah susah. Ambil responsif positif dan resolusi positif.
Situasi kedua, contohnya dalam suasana sedang memandu untuk ke
sesuatu destinasi, tiba-tiba kita berhadapan dengan masalah tayar kereta
kita pancit. Adakah kita segera ke bengkel kereta untuk merawat kereta
kita; tambahkan angin atau tampalkan tayar kereta tersebut bagi
membolehkan kita meneruskan perjalanan?
Atau adakah kita sibuk mencari siapakah atau apakah punca yang
menyebabkan tayar kereta kita pancit? Analogi untuk penyelesaian masalah
bagi kes ini ialah, 'cari' dan 'analisis' apa dan di mana tempat yang
bermasalah dan 'rawat' segera.
Jika kita ikut amalan ilmu perubatan, ada tiga langkah bagaimana
menghadapi dan menangani kes pesakit, iaitu mencegah, mengawal dan
rehabilitasi (pemulihan). Demikian jugalah analoginya untuk kita
menangani permasalahan dalam kehidupan kita. Pertama, 'cegah' dahulu.
Sebab itu dalam perubatan, kita selalu sebut, "mencegah adalah lebih
baik daripada mengubati". Maksudnya kita fikir, mencari jalan, dan
bertindak bagaimana untuk mengelakkan daripada berlaku sesuatu masalah
atau musibah.
Kedua, seandainya telah pun berlaku sesuatu perkara yang tidak
diingini itu, (dalam contoh perubatan, sudah pun mendapat penyakit),
kita rawatlah pesakit itu mengikut tahap keseriusan penyakitnya.
Contohnya, kalau pesakit itu penghidap kencing manis, mula-mula doktor
akan bagi ubat untuk kawal tahap gula dalam darah. Pesakit pula diminta
mengawal pemakanannya dengan mengurangkan makanan bergula dan menjaga
berat badan, di samping mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam.
Tetapi, jika tahap penyakit kencing manis pesakit sudah serius, dan
tiada jalan lain lagi untuk menyelamatkan pesakit kecuali terpaksa
dipotong kakinya, maka tindakan drastik itu mesti dilaksanakan bagi
menyelamatkan nyawanya. Begitu jugalah respons kita dalam menghadapi
masalah atau musibah kehidupan. Jika sudah terjadi, kita mesti
menghadapinya dengan sabar dan reda. Di samping kita mencari, memilih
dan membuat keputusan yang terbaik bagi menghadapi masalah itu.
Ketiga, rehabilitasi (pemulihan). Dalam contoh pesakit kencing manis
itu, setelah pesakit dipotong kakinya dan sembuh, untuk membolehkan
pesakit meneruskan kehidupan ini, pesakit dinasihatkan memakai kaki
palsu. Proses menyesuaikan pemakaian kaki palsu, dan proses
mengadaptasikan kehidupan baharu pesakit dengan berkaki palsu itulah
yang dimaksudkan rehabilitasi atau pemulihan.
Oleh sebab itu, berdasarkan analogi yang dinyatakan itu, apabila kita
berhadapan dengan masalah atau musibah, perkara penting yang perlu kita
lakukan ialah lihat masalah itu dengan hati yang tenang dan terbuka.
Terimalah segala masalah atau musibah itu sebagai takdir dan Allah
sedang uji kita, tanda Allah sayang akan kita, supaya kita semakin dekat
dengan-Nya. Tindakan positif apabila menghadapi masalah atau musibah
ialah pastikan 'apakah' masalah dan 'di mana' masalah tersebut.
Seterusnya segera mencari jalan 'bagaimana' hendak menghadapi
masalah, bukan mencari punca 'mengapa' dan 'siapa' puncanya atau
penyebab? Carilah segera penyelesaian masalah, dan dalam masa yang sama
carilah cara dan jalan untuk menguatkan jiwa kita supaya tabah
menghadapi dan berhadapan dengan masalah atau musibah.
Caranya, pertama ingatkan kepada Rukun Iman yang enam iaitu salah
satu daripadanya kepercayaan kepada qada dan qadar Allah SAW. Kedua,
tabah, sabar dan reda. Ketiga, berdoalah kerana doa itu senjata Mukmin
dan Mukminah. Hiduplah dengan kesedaran ketuhanan yang tinggi dengan
penuh keyakinan bahawa dalam menjalani kehidupan ini ada perkara yang
kita boleh kawal dan ada perkara yang kita tidak boleh kawal.
Ketika berhadapan dengan masalah atau musibah berdoalah, "Ya Allah,
ya Tuhanku, berikan aku kekuatan untuk mengubah perkara yang boleh aku
ubah. Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menerima apa-apa perkara yang
tidak boleh aku ubah. Ya Allah, ya Tuhanku, berikanlah aku
kebijaksanaan untuk tahu menilai antara kedua-duanya, yakni mana yang
baik dan mana yang buruk, mana yang Engkau redai dan mana yang engkau
murkai."
Kita mesti mengadu hanya kepada Allah bukan kepada makhluk Allah.
Kita berhubung dengan Allah melalui mata hati. Selagi kita syak dan
berprasangka buruk kepada Allah, bermakna mata hati kita masih tertutup.
Setiap manusia mempunyai paradigma. Paradigma ialah cara kita
berfikir dan cara emosi kita bertindak balas dengan apa-apa yang
berlaku. Jadikan masalah atau musibah yang menimpa kita sebagai satu
'cabaran' bukan 'halangan'. Apabila kita menerimanya sebagai 'cabaran',
jadikan ia sebagai 'batu loncatan' yakni 'peluang' untuk kita melonjak
ke arah kejayaan.
Orang yang bermasalah ialah orang yang tidak celik mata hati, maka
semua baginya masalah. Tetapi orang yang beriman melihat dengan mata
hati, melihat peristiwa negatif (masalah atau musibah) menjadi peluang
memperbaiki diri dan tidak menyalahkan sesiapa, apatah lagi menyalahkan
Allah!
Sesungguhnya manusia terdiri daripada dua iaitu manusia dirinya yang
sebenar (roh) dan manusia dirinya yang palsu (jasad). Manusia yang
hidupnya berusaha mencari ilmu akan bersih jiwanya. Ilmu sahaja yang
mampu menjadi pelita hati, maka carilah ilmu dunia dan akhirat.
Semoga kita semua diberikan takwa dan sentiasa berlapang dada dan
bebas daripada perasaan negatif; kecewa, marah, dendam, menyalahkan dan
merungut apabila ditimba masalah atau musibah. Dekati Allah, kerana
kesihatan, keselamatan dan rezeki kita akan terpelihara apabila kita
dekat dengan Allah. "Jom jaga diri, jag
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140309/re_14/Masalah-sebagai-peluang-untuk-berjaya#ixzz2vdcFI4Di
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tidak ada komentar:
Posting Komentar